Tuesday, October 5, 2010

MINGGU 10: JURNAL REFLEKSI 1

NOBAT
Sawaddeekrap..
Salam Sejahtera
Nobat adalah sejenis pancaragam Di Raja yang hanya dimainkan di istana. Sejak berabad, nobat hanya sinonim di telinga penduduk yang tinggal di sekitar kawasan seperti Alor Setar, Kuala Kangsar, Kelang dan Kuala Terengganu. Manakala masyarakat lain tidak banyak yang mengetahui mengenai Nobat. Yang DiPertuan Agong pertama telah mengistiharkan muzik Nobat sebagai muzik istana.

SEJARAH KEDATANGAN NOBAT
Mengikut keterangan yang dimuatkan di dalam majalah ‘Malaya In History’, keluaran Julai 1962, Nobat Kedah dan Perak telah mula diketahui sejak lebih kurang empat kurun yang lalu. Di dalam sejarah Melayu 1658 diceritakan bahawa negeri Melaka ketika di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Shah 1435 juga telah menggunakan Nobat.
Hasil dari kajian pula, didapati kemungkinan bahawa seni muzik Nobat ini dibawa oleh pedagang atau penyebar agama Islam adalah lebih tinggi berikutan fakta seperti berikut :
• Pedagang Arab yang datang ke rantau ini dan turut meninggalkan pengaruh kebudayaan mereka.
• Ada yang berketurunan raja - berdagang di India, mereka telah membawa sejenis alat bunyian yang disebut sebagai Naubat di India.
• Not-not lagu Nobat dipanggil “dai”- dalam tulisan Jawi.
Waktu Nobat dimainkan adalah pada waktu solat seperti Maghrib, Isyak, Subuh serta hari Jumaat.

ASAL – USUL NOBAT

Pendapat pertama

Perkataan Nobat ini adalah berasal dari Negeri Parsi yang menggunakan perkataan "Naubat" bermakna sembilan jenis.
- Nobat ini sepatutnya disebut sebagai 'Naubat'. Asal perkataan ini pula didatangkan dari Parsi iaitu
1. ‘NAU’ yang membawa maksud sembilan.
2. ‘BAT’ sembilan alat.
Pendapat kedua

- perkataan Nobat berasal daripada bahasa Sanskrit - ‘ NAO-BAT’. Ia kemudiannya dipecahkan kepada dua bahagian suku kata iaitu
1. ‘NAU - O - NAVA’ yang membawa maksud sembilan.
2. ‘BAT - O - BAH' yang membawa maksud pengabungan.

SEJARAH PEMBINAAN BALAI NOBAT

Balai Nobat mula dibina sejak awal kemunculan bandar Alor Setar dibuka oleh Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin Muazzam Shah, iaitu sultan Kedah yang ke-19 yang beliau memerintah negeri Kedah pada sekitar 1710 sehingga 1778.. Ia merupakan sebuah bangunan yang menyimpan alat-alat muzik Nobat ketika tidak digunakan.
Rekod gambar banggunan asas Balai Nobat ini masih tersimpan. Namun bentuknya kurang jelas dan tidak direkodkan sebarang penerangan mengenai bentuk asal bangunan ini secara terperinci.

Balai Nobat mula diubahsuai semasa pemerintahan Sultan kedah yang ke-25 iaitu Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah (1854-1879). Pengubahsuaian ini telah mengubah rupa balai Nobat asal menjadi sebuah bangunan setinggi lima tingkat dan hanya terbina daripada kayu dan beratap zink.

Pada zaman pemerintahan Sultan Kedah yang ke-26 iaitu Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 - 1943), bangunan Balai Nobat ini sekali lagi telah diperbaharui. Proses memperbaharuinya dilakukan sekitar tahun 1906. Bangunannya telah dikukuhkan lagi dengan binaan yang diperbuat daripada batu dan logam. Namun begitu bentuk asalnya masih lagi dikekalkan. Bangunan ini dibahagikan pula kepada tiga tingkat dan ciri-ciri keislaman diserlahkan melalui kubah yang terletak dibahagian kemuncaknya seperti yang ada sekarang.


ALAT-ALAT MUZIK NOBAT
Serunai

Menurut seorang pemain Nobat - batang serunai ini diperbuat daripada batang pokok cili padi dengan tujuan untuk memerdukan lagi bunyinya. Bahagiannya diperbuat daripada salutan perak dan sisinya daripada suasa. Lidah serunai ini diperbuat daripada daun ‘thai’. Ukur panjang serunai ini adalah 43 cm. Mempunyai tujuh lubang dipermukaan atas batang serunai dan satu lubang kecil dibawahnya. Lubang ini akan menentukan not lagu apabila dimainkan.

Gendang ibu dan Gendang Anak
-Ukuran adalah 20' bersamaan dengan 50 cm
- lebar mukanya 7' jejari - diperbuat daripada kayu yang baik dan tahan lasak (mengeluarkan bunyi yang baik).
-kulit harimau di sebelah kanan dan kulit kambing di sebelah kiri.
-Permukaan kulit kiri dimainkan dengan tangan -sebelah kanan pula dimainkan dengan paluan kayu Kemuning.
- mempunyai tali yang memudahkannya untuk digalas ke tempat-tempat permainan.
-Di sekeliling gendang tersebut dililit dengan rotan kertas sepanjang 1 kaki.
- Alat ini dibalut dengan kain berwarna kuning.

Nafiri
- panjangnya 33 cm
-Nafiri diperbuat daripada perak tulen.
-Ia mempunyai Temeluk yang terdapat pada dua bahagian berbentuk seperti buah 'kandis'. -Bahagian serombong Nafiri ini agak leper dan berbunga-bunga.
Gong

- diperbuat daripada tembaga merah daripada tanah Jawa
-Batang pemukul gong ini diperbuat daripada kayu keras yang kuat dan disalut dengan kain kuning.
- digantung pada satu tempat khas dinamakan ‘cagak’.
- Luas pemukaan gong ini adalah kira-kira 18'

Mahaguru/Semambu

- adalah alat Nobat yang paling penting sekali. Ia mesti ada bersama dengan kumpulan Nobat semasa dimainkan
- Mahaguru merupakan ‘cokmar’ DiRaja yang dipebuat daipada rotan Semambu.
-Ia bersaiz 5' X 11'. Lilitan pemukaan semambu adalah ½ inci berwarna merah. Semambu dibalut dengan kain berwarna kuning. Kain yang lama tidak akan dibuang sebaliknya akan dibalut dengan balutan kain baru di atas balutan yang telah sedia ada.

LAGU-LAGU NOBAT
Semua lagu Nobat Kedah adalah berbentuk instrumental tanpa adanya senikata lagu. Pemainnya hanya akan bermain dengan berpandukan kepada nota lagu yang dikenali sebagai DAI. DAI ini ditulis di dalam tulisan Jawi dan biasanya setiap rentak irama lagu-lagu Nobat ini sudah dihafal setiap pemain Nobat kerana sudah sering memainkannya.

Sayangnya, nota asal lagu lagu Nobat Kedah ini berkemungkinan besar telah hilang berikutan usia Nobat Kedah yang telah menjangkau hampir lapan ratus tahun. Ada juga yang berpendapat bahawa sesetengah pemain Nobat tidak mahu menurunkan semua lagu yang diketahui kepada keturunannya. Oleh itu nota lagu ini tidak dimanuskripkan.

Terdapat 19 buah lagu yang masih ada hingga sekarang ini. Nota-nota lagu ini telah ditulis dalam tulisan tangan oleh Encik Abdul Rahman iaitu seorang Kalur Besar. Lagu-lagu yang masih ada adalah seperti;
• Lagu Raja Burung.
• Lagu Seratan.
• Lagu Belayar.
• Lagu Bayat.
• Lagu Bayok.
• Lagu Sepindin.
• Lagu Malawala.
• Lagu Sadaruna.
• Lagu Mambang Berkayuh.
• Lagu Mambang Cina.
• Lagu Bujang Hilir.
• Lagu Tempoyak.
• Lagu Gendang Anak.
• Lagu Lumat.
• Lagu Dewa Saja.
• Lagu Arak-arak.
• Lagu Belimau.
• Lagu Palu.
• Lagu Perang.
Walau bagaimanapun, pada maza ini pemain-pemain Nobat hanya perlu mahir bermain beberapa jenis lagu sahaja. Lagu yang disenaraikan adalah sebanyak sembilan buah sahaja iaitu;
• Lagu Raja Burung.
• Lagu Belayar.
• Lagu Sepindin.
• Lagu Lumat.
• Lagu Gendang Anak.
• Lagu Sadaruna.
• Lagu Malawala.
• Lagu Gendang Perang.
• Lagu Palu.

NOBAT NEGERI PERAK

Nobat Negeri Perak mengandungi alat-alat berikut:
Gendang Nobat
- Gendang Nobat ini biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu.
Nafiri
-Nafiri digunakan dalam memulakan sesuatu lagu.

Gendang Nenghara
-Gendang Nenghara ialah gendang yang membawa lagu.
Serunai
-Serunai ialah alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan.
Gendang Penengkah
-Gendang Penengkah ialah gendang yang memasuki irama ke dalam lagu.

Di antara senarai yang tersebut di atas Gendang Nobat adalah paling dihormati. Ianya menduduki tempat yang tertinggi dan digunakan untuk kegunaan Diraja sahaja. Walau bagaimanapun Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan boleh menitah Nobat ini digunakan untuk mengiringi sesuatu istiadat dan menghormati jenazah.

Pemain-pemain alat Nobat adalah ahli daripada keluarga-keluarga tertentu sahaja iaitu Orang-orang Kalur. Ketua Nobat diberi gelaran Toh Setia Guna dan pembantu Toh Setia Indera. Mengikut Adat Istiadat Negeri Perak tiada Sultan yang boleh dianggap berdaulat sehingga ianya ditabal dengan bunyian Nobat. Kumpulan Nobat Perak memainkan lagu-lagu Nobat berikut:
• RAJA BERANGKAT (GENDANG BERANGKAT)
• PUTERI MANDI MAYANG
• RAMA-RAMA TERBANG TINGGI
• KUMBANG SI KUMALI (KUMBANG KEMBALI)
• ARAK-ARAK ATANDIS (ENTEALS) (ARAK-ARAK UNTANDAI)
• ALEH-ALEH PANJANG
• ALEH-ALEH PANDAK
• DANG GENDANG
• LENGGANG CHE KOBAT
• JONG BER-ALEH
• ANAK RAJA MEMBASUH KAKI
• GENDANG PERANG
• NOBAT TABAL
• NOBAT RAJA
• NOBAT KHAMIS
• NOBAT SUBOH
Nobat Diraja Perak dibunyikan untuk upacara atau tradisi yang berikut:
• Sesuatu yang berkaitan dengan peribadi Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak
• Masa Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak dan Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri.Istiadat di Balairong Sri Menyambut Ulangtahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
• Istiadat Menjunjung Duli.
• Keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak melawat keluar negeri (tertakluk kepada titah).
• Mengiringi Jenazah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan dan Raja Permaisuri ke makam Diraja.
• Perkahwinan dan Berkhatan Putera dan Puteri Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak.
• Istiadat Kebesaran negeri iaitu pada masa lawatan Raja-Raja negeri lain ke Negeri Perak.
• Hendak memulakan Puasa pada bulan Ramadhan - tiga petang berturut-turut iaitu pada 28, 29 dan 30 dalam bulan Syaaban tiap-tiap tahun.
• Pada petang 24 Ramadhan menyambut malam 25 Ramadhan dan petang 26 Ramadhan hingga sampai petang malam Hari Raya Aidil Fitri.
• Pada masa Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan bersiram pada hari Raya Aidil Fitri dan pagi Aidil Adha.
• Tiga petang berturut-turut hendak menyambut Hari Raya Aidil Adha, iaitu pada petang 7, 8 dan 9 Zulhijjah.
• Menyambut keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak ke masjid kerana bersembahyang Hari Raya Aidil Fitri dan Aidil Adha dan berangkat meninggal masjid.
• Dalam Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong tiga lagu Nobat dimainkan, iaitu, lagu "Raja Berangkat" semasa Seri Paduka Baginda berdua berangkat masuk ke Balirong Seri; lagu "palu" semasa Alat-alat Pertabalan dibawa masuk ke Balairong Seri; lagu "Raja Bertabal" selepas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengangkat Sumpah Diraja dan lagu "Raja Berangkat" sekali lagi apabila Seri Paduka Baginda berdua berangkat pulang dari Balairong Seri.

NOBAT NEGERI KEDAH

Alat-alat bunyian Nobat Negeri Kedah mengandungi seperti berikut:
• Nahara iaitu dua buah gendang kecil.
• Gendang Ibu dan Gendang Anak berukuran sederhana.
• Nafiri iaitu Trumpet perak berukuran 83.8 sentimeter panjang.
• Sebuah Gong yang tergantung.
• Tongkat Cokmar Diraja iaitu Tongkat rotan panjang berbalut baldu.
Telah dirawayatkan bahawa munculnya Nobat Kedah ini semasa hayat Nabi Allah Ibrahim Khalilullah yang mempunyai kebesaran dan kemuliaannya. Kemudian diperturunkan ke zaman Iskandar Dzulkarnain. Seterusnya diturunkan kepada semua Raja-Raja di Tanah Arab, sehinggalah ke negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ataillah Mohamad Shah I.

Dalam riwayat yang lain pula menceritakan bahawa masa pemerintahan Almarhum Sultan Ataillah Mohammad Shah, Raja Kedah yang Pertama, seorang saudara adindanya iaitu Tunku Mohammad Jiwa telah melawat ke negeri India. Semasa lawatan itu, baginda telah menyaksikan suatu persembahan bunyi-bunyian yang menarik sekali. Setelah diselidiki, baginda mendapat tahu persembahan itu ialah Nobat. Sekembalinya ke Kedah dipersembahkan perkara tersebut kepada Sultan Ataillah Mohammad Shah iaitu bunyi-bunyian yang menjadi kebesaran dan kemuliaan Maharaja Hindustan itu. Baginda Sultan kemudiannya berkenan mewujudkan satu kumpulan Nobat bagi menandakan kebesaran dan kemuliaan Sultan dan sekalian kerabatnya.

Nobat biasanya dimainkan:
• Setiap kali sebelum masuk sembahyang.
• Setiap hari Jumaat.
• Istiadat Pertabalan Raja (Sultan).
• Istiadat perkahwinan Sultan, Raja Muda dan Kerabat Diraja.
• Nobat berjalan nobat berjalan naik ke lepau Sultan, Raja Muda dan Kerabat Diraja yang sudah berumahtangga.
• Istiadat berjalan naik oleh serunai nobat iaitu satu sahaja ke lepau Menteri Tunggal dan Menteri Empat.
• Kemangkatan Sultan, Raja Muda, Kerabat Diraja dan lain-lain.
• Istiadat Menyambut Pembesar-pembesar luar negeri yang melawat Kedah.
• Memberitahu mengenai petang menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Haji.
• Menghormati dukacita gerhana matahari dan gerhana bulan.
Lagu-lagu Nobat yang biasa dimainkan ialah:
• Lagu Raja Burung
• Lagu Belayar
• Lagu Gendering Perang
• Lagu Mambang Berkayuh
• Lagu Seratan
• Lagu Hayat/Lagu Dewa Raja
• Lagu Arak-Arak

NOBAT NEGERI SELANGOR

Nobat yang digunakan dalam istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XI ialah Nobat Negeri Selangor. Nobat Negeri Selangor berasal dari Nobat Diraja Perak dan dipersembahkan untuk Upacara Majlis Istiadat tertentu iaitu Pertabalan Diraja, Perkahwinan Diraja, Majlis-majlis Rasmi Diraja dan Kemangkatan Diraja.
Nobat Negeri Selangot mengandungi:
• Gendang Nobat (biasa dikenali sebagai Gendang Nyenyalu)
• Nafiri (digunakan dalam memulakan sesuatu lagu)
• Gendang Nengkara (gendang yang membawa lagu)
• Serunai (alat yang mengiringi lagu-lagu yang dimainkan)
• Gendang Penengkah (gendang yang memasuki irama ke dalam lagu
Kumpulan Nobat memainkan lagu-lagu yang sama dengan nobat negeri Perak.

NOBAT NEGERI TERENGGANU

Menurut cerita, Nobat Negeri Terengganu Darul Iman ini berasal dari Riau dan mula digunakan semasa pemerintahan Sultan Ahmad. Nobat Diraja mengandungi sebuah Gendang Saku yang dikenali sebagai Negara, dua buah Gendang Nobat, sebatang Nafiri, sepasang Kopak-Kopak dan sebatang Serunai. Nafiri ini diperbuat daripada perak manakala serunainya pula diperbuat daripada gading yang di bahagian hujung diperbuat daripada perak. Negara dan Gendang Nobat dimainkan oleh empat orang daripada keturunan Raja pada hari istiadat.

Nobat Negeri Terengganu mempunyai tiga belas buah lagu seperti berikut:
• Lagu Iskandar Shah
• Lagu Ibrahim Khalil
• Lagu Seri Istana (Semang)
• Lagu Anak Kuda Ragam/Raja Beradu
• Lagu Seri Istana
• Lagu Petang Khamis
• Lagu Palu-Palu Melayu
• Lagu Lapan
• Lagu Petang Jumaat
• Lagu Palu-Palu Nigiri
• Lagu Petang Khamis Perak
• Lagu Arak-Arak
• Lagu Perang

Bagaimanapun daripada tiga belas lagu-lagu yang tersebut di atas hanya tiga lagu sahaja yang selalu dimainkan dalam istiadat di Singgahsana. Lagu-lagu yang berkenaan adalah seperti berikut:
• LAGU ISKANDAR SHAH
• LAGU IBRAHIM KHALIL
• LAGU SERI ISTANA

Nobat Negeri Terengganu dimainkan pada tiap-tiap hari, pagi dan petang semasa berlangsung istiadat perkahwinan Diraja dan juga pada waktu-waktu tertentu. Nobat juga dimainkan pada tiap-tiap petang sebelum berbuka puasa pada bulan Ramadan dan petang Aidil Fitri dan Aidil Adha. Nobat turut dimainkan pada tiap-tiap petang Khamis malam Jumaat di Istana.

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah telah menerima kembali Nafiri asal istana Sutlan Terengganu yang telah dikembalikan oleh keluarga Tengku Hamid bin Tengku Mandur yang berasal dari Singapura pada 17 Mac 1990.

Sehingga kini Nobat Diraja Negeri Terengganu ini belum pernah dimainkan dalam Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

TUGAS-TUGAS PEMAIN NOBAT

Penghulu : Penghulu merupakan orang yang bertanggungjawab menguruskan segala perkara yang berkitan dengan kumpulan Nobat DiRaja Negeri Kedah.

tugas penghulu adalah;
• Mencari pengganti jika berlaku kekosongan. Contohnya akibat kematian. Pemain mesti dipilih secara satu keturunan sahaja.
• Penghulu kemudian bertanggungjawab untuk melatih pemain baru dan memastikannya benar-benar mahir untuk menganggotai kumpulan Nobat.
• Mengatur Jadual Peraturan yang perlu diikuti oleh setiap kumpulan Nobat.
• Menjadi orang perantaraan antara pemain Nobat dengan Pihak Atasan. Contohnya dengan Pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan.
• Mesti mengetahui cara memainkan semua peralatan muzik Nobat.
• Memastikan keelokan alat muzik Nobat serta pakaian rasmi pemain Nobat, serta menukarkannya apabila perlu.
• Bertanggungjawab menyelia dan mengetuai kumpulan Nobat tesebut secara keseluruhan.
Kalau Besar : Kalau Besar merupakan pembantu kepada penghulu. Ia juga akan mengetuai kumpulan Nobat.
Orang Nobat : Orang Nobat adalah pemain-pemain dalam kumpulan Nobat.

PANTANG LARANG NOBAT

Sesiapa yang melanggar pantang larang Nobat dipercayai akan menerima bala atau bencana. Antara pantang larang yang masih kuat dipegang hingga kini adalah seperti:

- Alatan muzik Nobat tidak boleh dipersendakan oleh sesiapa dan kedudukannya mestilah tetap dan tidak boleh diubah sesuka hati.
- Semasa alat muzik Nobat dibawa turun ke Balai Besar, sesiapa pun tidak dibenarkan melintas dihadapannya.
- Mahaguru merupakan alat penunjuk dan mesti dihormati. Jika ada yang kurang tertib, mereka akan menerima balasannya.
- Alat-alat Nobat ini tidak boleh dimainkan di pesta-pesta atau temasya lain.
Orang-orang Nobat tidak dibenarkan mengajar semua lagu yang diketahui kepada keturunannya.
- Sesiapa pun tidak dibenarkan menyentuh alat muzik Nobat ini.
Semasa Nobat hendak dimainkan, pemian Nobat ini mestilah mengikut jalannya ke tempat letak alat-alat itu sebelum dibenarkan duduk.
- Sesiapa pun tidak dibenarkan melihat permukaan bawah gendang Nahara keana ia dipeRcayai diperbuat daripada kulit perut perempuan mengandung.
- Kedudukan alat Nobat ini mestilah tetap dan tidak boleh diubah. Nahara mestilah menghadap ke arah matahari terbit.
- Semasa hendak menyalin kulit Nahara, pemain Nobat mestilah menggunakan kain selendang berwarna kuning.
- Apabila alat-alat hendak diturunkan ke tempat lain seperti Balai Besar hendaklah mengikut peraturan iaitu didahului oleh Semambu atau Mahaguru, Serunai, Gendang ibu, Gendang anak, Gong, dan Nafiri.
- Semua pemain Nobat mestilah megikut keturunan dan muzik Nobat selalu diperturunkan kepada anak lelaki sahaja.
- Apabila ayah atau pemain hendak berhenti dari bemain Nobat, dia mestilah melatih anaknya dirumah terlebih dahulu dengan menggunakan alat Nobat rekaan. Setelah anaknya mahir, dia boleh menggantikan tempat ayahnya dengan syarat ayahnya mesti menyediakan Nasi Kunyit dan dikemenyankan.
- Kemudian si anak pelu memakan sekepal Nasi Kunyit sebelum mula bemain.
Semasa bermain Nobat, para pemain mestilah memakai pakaian rasmi berwarna hitam.

Maklumat di atas hasil dari pembentangan kumpulan Nobat di nobatupsi2010.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMPULAN A

BLOG KUMPULAN B

BLOG KUMPULAN C

SMP2252bancha Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template