Maafkan saya kerana terlewat sedikit ya...
Minggu ini kami memulakan kelas dengan pembentangan kumpulan. Jadi tajuk yang dibentangkan ialah keroncong. Saya sebenarnya hanya mengenali keroncong ketika berada di UPSI. Kurangnya pendedahan bukan bermakna saya tidak berminat. Jadi di sini saya telah catatkan sedikit nota hasil pembentangan kawan-kawan saya sebagai rujukan saya dan pembaca. Harap ia akan menjadi wadah yang dapat membantu orang lain seperti saya untuk mengenal keroncong dengan lebih dekat lagi.
Keroncong
-Salah satu genre muzik tradisional yang terdapat di Malaysia. Menggunakan alat-alat muzik kordofon barat namun memainkan lagu-lagu tradisional Melayu.
Sejarah Awal Keroncong
Ada pendapat yang mengatakan muzik keroncong dibawa oleh orang-orang Portugis ketika mereka tiba di Asia Tenggara Ini dibuktikan dengan wujudnya alat-alat keroncong seperti gitar, ukulele, biola dan sebagainya merupakan alat-alat Barat. Malah terdapat alat tradisional dari Portugis yang mempunyai bentuk seakan-akan ukulele yang digelar ‘charanga’ di sana. Cara memainkan alat itu juga sangat dominan dengan cara permainan ukulele maka seni ini dikaitkan dengan seni muzik Portugal.
Pada awalnya kurang diminati peminat muzik Jawa namun semakin lama mereka terdedah kepada muzik itu, mereka semakin berminat untuk belajar menguasai alat-alat barat. Pemuzik-pemuzik ini membuat penyesuaian permainan alat ini ke dalam permainan gamelan mereka. Maka alat ini digunakan untuk memainkan lagu-lagu gamelan. Akhirnya kacukan inilah yang menghasilkan muzik KERONCONG.
Antara gamelan yang terkenal dan mirip muzik keroncong ialah “gamelan degung”. Kajian menunjukkan bentuk muzik kedua-duanya terdapat aspek yang serupa. Rentak kedua-duanya bercorak sederhana. Namun, kedua-duanya berbeza dari segi permainan. Muzik keroncong memberi kebebasan untuk pemainnya mengubah lagu mengikut selera dan kehendak zaman manakala gamelan degung lebih teratur susunannya. Semasa penyesuaian, alat gamelan degung digantikan dengan alat muzik barat yang sama fungsi dan bunyinya.
Kecapi - gitar
Rebab - Biola
Seruling - Flute
Kendang - cello
Gong - Double bass
Peking/Saron - ukulele
Peking/ Cempress- Cak
Sejarah Keroncong di Malaysia
Mula masuk ke Malaysia sekitar 1940-an dan dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang merantau untuk berdagang dan mencari kerja di Tanah Melayu. Pada mulanya mereka hanya menyanyikan lagu dari Indonesia, namun selepas Perang Dunia Kedua terdapat penggubah tempatan yang mencipta lagu seperti P.Ramlee, Johan Bahar dan ramai lagi.
Evolusi Alat
Istilah asal keroncong ialah gelang keoncong. Pada abad ke-16 rebana dimasukkan kemudian mandolin tetapi ianya bertahan sehingga abad ke-19 sahaja. Rebana digantikan dengan gitar dan kemudiannya pada 1934 digantikan dengan cello yang dipetik secara pizzicato. Pada 1930, mengikut keterangan supardi dari radio Surakarta, harmonica digunakan sebagai alat melodi sebelum digantikan dengan violin. Dan pada 1940, flute dan juga tenor banyo (cak)dimasukkan dalam ensemble muzik keroncong.
Dan akhirnya terbentuk ensemble keroncong sekarang yang terdiri daripada 7 jenis alat.
1. Biola (violin)
2. Seruling (flute)
3. Gitar
4. Ukulele (cuk)
5. Tenor Banyo (cak)
6. Cello
7. Double Bass
ALAT-ALAT MUZIK KERONCONG
-Setiap alat ini berasal dari barat dan dimainkan mengikut rentak masing-masing.
-Gitar, cuk, cak dan cello merupakan alat pembawa rentak
-melodinya pada flute dan biola
Biola
Biola adalah sejenis alat bertali yang digesek (bow) - Mempunyai 4 tali dan lejhernya tiada fret. Menggunakan 4 tali dan tali yang paling kecil ialah E dan naik setiap jeda perfek 5 ke tali lain. Ada kalanya boleh dipetik (pizzicato).
-berperanan sebagai pemimpin dan kadangkala memainkan counter melodi selain melodi utama. Pemain biola perlu mengkaji dan memahami cara mengiringi yang bercorak keroncong kerana ia mempunyai not-not hiasan (bunga-bunga )asli yang ada dalam keroncong sahaja.
Flute
Flute tidak sama dengan seruling. Seruling dibuat dari buluh, manakala flute di perbuat daripada perak. Pada asalnya permainan keroncong menggunakan seruling dan akhirnya ditukar kepada flute
Peranan flute sama seperti biola iaitu memainkan melodi dan juga mengiringi secara ‘counter melodi’ serta memainkan not-not hiasan. Bunyi flute memberi keasyikan kepada peminatnya jika pemain mempunyai banyak pengalaman dan berkebolehan dalam menggunakan aliran not bercorak keroncong. Adakalanya flute dan biola bermain secara duet sama ada secara harmoni atau secara unison.
Cuk
Cuk merupakan satu alat yang di adaptasi daripada alat ‘ukelele’. Berperanan sebagai alat pengiring kerana ia digunakan untuk memainkan kod-kod sahaja. Cuk dipasang dengan 3 atau 4 tali nylon dan larasnya boleh ditukar ikut nada lagu. Pemain harus mahir tukar laras dengan cepat. Pemain juga perlu tukar posisi jari untuk memainkan kod-kod untuk lagu yang dipersembahkan.
Cak
Juga merupakan alat pengiring dalam permainan keroncong. Ia bergabung dengan alat cuk dan bertingkah. Cak memainkan kord menggunakan rentak up-beat. Cak direka baru oleh pemuzik Indonesia berbentuk seakan-akan cuk tetapi menggunakan tiga tali dawai yang berpasangan seperti mandolin. Tiada lubang bulat besar pada badan alat tetapi digantikan dengan lubang-lubang kecil. Maka bunyi yang dihasilkan lebih nyaring dan tinggi.
Gitar
Alat gitar yang digunakan adalah jenis kotak atau akustik dan menggunakan tali dawai untuk tali pertama dan kedua. Tali ketiga hingga keenam dibuat daripada dawai yang dibalut dengan logam. Tali nylon tidak digunakan kerana ia tidak mengeluarkan suara yang sesuai.
Gitar memainkan iringan yang berbentuk counter-melodi atau adakalanya rangkaian not-not yang naik ke atas menurun berasaskan kod yang dimainkan. Kord saja jarang dipetik melainkan untuk memberi tekanan pada sesuatu bit dalam lagu ataupun pada permulaan lagu.
Cello
Tergolong dalam keluarga biola tetapi dalam keroncong asli ia dipetik (pizzicato), dan mempunyai peranan yang lebih dinamik dan lincah untuk menambahkan ketegasan rentak. Kini cello telah diubah dengan menggunakan tiga tali sahaja. Hal ini untuk memudahkan ia dimainkan kerana biasanya hanya tiga tali sahaja yang digunakan. Di Indonesia terdapat perusahaan yang membuat alat cello khas untuk keroncong. Menggantikan rentak gendang dan mengikut rentak gendang.
Double bass
Alat yang paling mudah dimainkan kerana ia menekankan rentak seperti yang dilakukan oleh gong dalam gamelan.
Tali Pertama - G
Tali Kedua - D
Tali Ketiga - A
Tali Keempat - E
Biasanya ia hanya memainkan satu bit saja dalam satu bar. Adakalanya, ia dimainkan pada bit pertama @ketiga pada bit pertama, ketiga @keempat . Cara terakhir itu diberi nama cara ‘rumba’. Pemain double bass selalunya akan bermain tidak lebih dari apa yang ditetapkan, Jika tidak ia akan mengganggu cello.
Form dan Bentuk
Keroncong Asli
• Jumlah Bar : 28 Bar, tanpa intro atau coda
• Tanda Masa : 4/4
• Bentuk/ form : A-B-C, dinyanyikan dua kali
• Intro – mainkan 1 atau 2 alat solo dengan tempo bebas (voorspel)
• Penutup juga dimainkan 1 atau 2 alat solo
• Tetapi ia mempunyai salingan pada bar ke 8 dan 9 (bridge)
• Muziknya juga tidak di ulang.
• Mengunakan key major.
Keroncong Langgam
• Jumlah Bar : 32 bar tanpa intro dan coda
• Tanda masa : 4/4
• Bentuk / form : A A B A
• Tanda nada : Major / Minor
• tanpa intro
• Tidak mempunyai bridge
• Muziknya di ulang A – A
Stambul
Stambul 1
- jumlah Bar : 16 Bar
- Tanda Masa : 4/4
- Form : A B
- intro bebas
- penutup bebas
• Sambul 2
- Jumlah Bar : 16 X 2 bar
- Tanda Masa : 4/4
- Form : A B
- Intro / penutup: bebas mengunakan alat/suara tanpa iringan muzik
Keroncong ekstra
• Menyimpang dari ketiga-tiga jenis keroncong tersebut.
• Bersifat riang dan jenaka.
• Sangat terpengaruh oleh bentuk-bentuk lagu tradisional
Saya pun tidak tahu apa yang lainnya. Walaupun sudah mencari namun saya turut menemui benda yang sama.
Pembentangan dari kumpulan ini sebenarnya memang telah banyak mengajar saya mengenai keroncong dengan lebih mendalam. Saya tidak tahu langsung sebelum ini keroncong digunakan untuk menggantikan gamelan. Namun Banyak lagi yang boleh diterokai hasil dari apa yang saya dapati. Tiada kajian yang mendalam mengenai keroncong dan ianya kurang diperkenalkan jikalau ada. Kita jarang dapat membaca dan melihat artikel mengenai keroncong. Pendedahan yang kurang sebegini telah mengakibatkan keroncong wujud dalam alirannya sendiri di Malaysia. Usaha yang teguh perlu dibuat bagi meningkatkan lagu martabat muzik keroncong kerana identitinya yang tersendiri.
0 comments:
Post a Comment