Tuesday, August 24, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI


Sawaddekrap..
Salam Sejahtera..

Minggu ini sesi pembelajaran kami beralih kepada Makyung dan Kompang. Objektif kami ialah kami dapat memahami sejarah Makyung, persembahan dan alat muzik makyung dan muzik Makyung. Permulaan dimulakan seperti dengan set induksi menggunakan video. Terdapat 4 video namun, bukan semua video tersebut merupakan makyung.

Makyung
Merupakan dalam kategori dramatari/ seni lakon tradisional yang sangat kuno seperti mekmulung, menora dan jikey. Keempat-empat seni ini mempunyai asas yang sama tetapi dibentuk dengan identiti dan keperluan yang berbeza. Terjemahan ceritanya menggunakan manusia dan mengutamakan dialog. Merupakan satu-satunya dramatari Malaysia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Makyung berasal daripada Pattani dan tersebar ke Kelantan dan Kedan sejak 200 tahun dahulu. Sesetengah mengatakan sejak 400 dahulu lagi. Profesor Mohamed Ghouse Nasuruddin mengatakan perkataan Makyung dikatakan berasal dari perkataan 'mak hiang' yang bermaksud semangat padi. Masyarakat dulu yang mengamalkan animisme percaya dengan bermain mak yung mereka akan dapat menghasilkan tuaian yang lebih baik. Malah tarian ini digunakan untuk mengubati penyakit seperti permainan Main Puteri.

Di bawah naungan Sultan Mohammad ke IV, Makyung mula berkembang di Kelantan dan berpusat di kampung Temunggung. Tengku Temenggung Ghafar merupakan orang yang bertanggungjawad memperhalusi sistem latihan, muzik, dan kostum. Pada awalnya permainan ini merupakan Tradisi istana, namun lama kelamaan bertukar ke tradisi rakyat. Pada zaman dahulu, golongan Raja dan bangsawan sering keluar berperang, maka permaisuri dan puteri yang tinggal di istana mempunyai masa senggang. Oleh itu, seni ini dimainkan di istana dan hanya golongan wanita sahaja yang dibenarkan bermain kerana raja tidak mahu golongan wanita terpikat dengan pelakon-pelakon lelaki.

Persembahan ini dipersembahankan di panggung yang didirikan beberapa kaki dari atas tanah dan mempunyai atap, manakala ruang berlakon pula di tengah-tengah panggung. Pemuzik dan penyanyi latar (Jong dondang) duduk di tepi. Watak lelaki dipanggil Pakyung. Merupakan teater dalam bentuk bulatan. terdapat juga watak peran dan ahli nujum.

Makyung mempunyai kira-kira 11 buah cerita dan 30 repertoire lagu. Cerita asalnya berasal dari cerita Dewa Muda. Lagu yang berlainan akan dinyanyikan pada situasi berlainan, lagu yang pertama ialah menghadap rebab. Lagu ini merupakan penghormatan kepada rebab dan semangat makyung. Manakala seterusnya ialah lagu Kijang Mas yang dinyanyikan oleh kumpulan korus dan lagu Sindung dinyanyikan Pakyung apabila ingin memberi arahan kepada peran.


Alat-alat Muzik

Sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab 3 tali, dan sesetengahnya menambah serunai, geduk dan canai.

Rebab
-melodi utama, keluarga kordofon, muka menggunakan kulit perut lembu dan mempunyai bonggol kecil ditepi dipanggil 'susu' yang diperbuat dari lilin lebah untuk meredam bunyi.

Form dan bentuknya pula ditentukan dalam sistem pusingan gong (binary form - 8 bit, 16 bit, 32 bit ) dan dikawal oleh tetawak. Iramanya menggunakan 4 timbre (pak, duh, cak, ting) Hampir semua lagu makyung dalam tempo yang perlahan. Testurnya berbentuk heterofoni dan menggunakan melodi yang komplek dan berhias.




Menghadap Rebab


KOMPANG
Berasal dari Arab di Asia Barat dan dikenali sebagai Dufuf, Daff, Duff, tar atau bendir. Di Indonesia ia dipanggil terbang atau rebana. Di bawa oleh pedagang yang berdagang ke Tanah Melayu untuk menarik perhatian pembeli. Mengapa ia dikatakan berasal dari Arab, pendapat pertama mengatakan kerana ia menyerupai Hadrah yang terdapat di Arab. Manakala kedua kerana lagu-lagu yang digunakan selalunya dalam bahasa arab. Dimainkan dalam majlis keraian masyarakat Melayu dan majlis sosial seperti menyambut pembesar atau pemimpin dalam acara rasmi.

Dahulunya terdapat adab ketika bermain kompang. Pakaian mereka dititik beratkan manakala kompang pula tidak boleh ditelentangkan, dilambung dan diletakkan kulit mukanya ke lantai. Kompang diperbuat daripada kulit kambing betina kerana lebih lembut dari kambing jantan yang dipanggil belulang. Bahagian tepinya pula diperbuat daripada kayu nangka yang dipanggil baluh. Apabila bahagian permukaannya agak kendur, selalunya pada bahan dalam kompang akan diletakkan rotan yang dipanggil sedak. Rotan ini ditekan rapat ke bahagian tepi baluh bagi menegangkan permukaan kulit kompang. Selain itu, ia juga boleh dijemur jika kulitnya lembap untuk menegangkan kembali belulang.






Permainan kompang terbahagi kepada beberapa jenis iaitu:
-kompang Hadrah (Negeri Perak)
-Kompang Johor/Jawa
-Kompang Ezhar (Negeri Selangor)
-Kompang Kelalang ( Negeri Melaka)

Kompang juga diperoleh berdasarkan saiz mengikut umur pemain. Saiz paling kecil ialah 30 cm untuk 12 tahun ke bawah dan saiz 40 cm untuk orang dewasa.


Kompang dimainkan dengan menggunakan sebelah tangan sahaja untuk memukul manakala sebelah lagi memegang kompang. Kompang menghasilkan bunyi 'pak' dan 'bung'. Bunyi 'pak' dihasilkan dengan memukul permukaan tengah kompang dengan jari terbuka. Bunyi 'bung' pula dihasilkan apabila bahagian tepi kompang dipukul menggunakan jari.

Terdapat 3 kumpulan yang akan bermain untuk menghasilkan paluan kompang yang lengkap iaitu melalu, menyilang dan meningkah. Kumpulan melalu memainkanrentak asas manakala kumpulan menyilang memainkan rentak silihan (upbeat) kepada kumpulan melalu dan kumpulan meningkah menjadi penghias paluan yang dimain kedua-dua tadi.

Setiap persembahan akan dimulakan dengan pukulan mula, kemudian pukulan lagu dan diakhiri dengan pukulan mati. Kompang turut dimainkan dalam sebarang pertandingan untuk meningkat semangat pemain. Kompang dimainkan dalam tempo yang laju untuk kerana sifatnya yang dimainkan untuk menaikkan semangat. Terdapat pelbagai rentak dalam permainan kompang. Kompang biasanya dibimbing oleh seorang yang dikenali sebagai khalifah yang akan memulakan pukulan dan menamatkan pukulan dengan isyarat mengangkat kompang.







Setelah selesai pelajaran, saya sangat tertarik dengan Makyung dan kompang. Kedua-dua muzik tradisional ini telah berkembang seiring dengan peredaran zaman yang memerlukan mereka menyesuaikan diri dengan perkembangan terkini. Kompang telah berkembang ke era baru di mana adanya pertandingan dan kompang formasi yang nyat berbeza dengan seni kompang dahulunya yang tidak begitu mencabar. Pembaharuan ke arah kebaikan dan perkembangan yang membawa kepada kelangsungan hidup budaya tradisional amat saya hargai. Namun saya mendapati, banyak lagi bahan mengenai alat-alat muzik tradisi yang kurang dikomersialkan. Sekian sahaja daripada saya kali ini...terima kasih kerana membaca.



0 comments:

Post a Comment

 

BLOG PELAJAR KUMPULAN A

BLOG KUMPULAN B

BLOG KUMPULAN C

SMP2252bancha Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template